.

ANAK MUDA MERDEKA !!!!!!!


TANGGAL 31hb Ogos 2012 ini telah menandakan bahawa Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 55 tahun. Bagi sesetengah pihak, angka 55 tahun itu adalah satu angka yang besar atau satu jangka masa yang panjang tetapi bagi saya angka 55 tahun itu adalah satu angka yang kecil dan satu jangka masa yang pendek. Negara Malaysia ini yang baru merdeka selama 55 tahun masih muda dan baru mencapai usia separuh abad berbanding Kesultanan Melayu Melaka yang telah bertahan lebih kurang satu abad.

Di Malaysia pada hari ini, saya boleh kategorikan kepada 3 golongan dalam konteks kemerdekaan Negara :

a) Golongan yang lahir sebelum tarikh kemerdekaan.

b) Golongan yang lahir dalam jangka masa tarikh kemerdekaan.

c) Golongan yang lahir selepas tarikh kemerdekaan

Jika dilihat pada 3 golongan ini, pastinya semua bersetuju dengan saya bahawa semakin kita bergerak maju ke hadapan, golongan ketiga iaitu golongan yang lahir selepas tarikh kemerdekaan akan lebih mendominasi pergerakan tersebut. Sehinggakan tiba suatu masa nanti, Negara ini hanya didiami oleh golongan ketiga iaitu golongan yang lahir selepas tarikh kemerdekaan dan sudah tidak wujud golongan pertama dan kedua. Apakah bentuk Negara Malaysia yang akan dicorakkan oleh golongan ketiga ini pada masa hadapan? Tepuk dada Tanya diri sendiri.

Jadi golongan ketiga yang ada pada hari ini ialah anak-anak muda yang akan menjadi pemimpin negara pada masa depan. Tanggungjawab anak-anak muda pada hari ini adalah sangat berat kerana anak-anak muda pada hari ini perlu untuk menjadi pemimpin negara pada masa depan dan pada masa yang sama, semangat patriotik dan penghayatan kemerdekaan yang ada pada diri masing-masing perlulah dikekalkan. Selain itu, bentuk negara Malaysia juga pada masa depan akan ditentukan oleh golongan ketiga ini atau anak-anak muda pada hari ini.

Definisi kemerdekaan pastinya berbeza-beza apabila dirujuk kepada pelbagai pihak. Tanggal 31hb Ogos 1957 adalah bersejarah kerana kita telah merdeka dari pihak penjajah tetapi hanya dalam konteks fizikal. Hal ini bermaksud bahawa kita boleh mentadbir Negara kita sendiri tanpa ada gangguan daripada pihak-pihak luar. Tetapi adakah kita sebenar-benarnya telah bebas dan merdeka daripada pihak-pihak luar selain daripada konteks fizikal? Jawapannya ialah TIDAK.


Penjajahan alaf baru yang sedang berlaku pada hari ini dinamakan sebagai Penjajahan Minda. Penjajahan Minda ini tidak memerlukan konteks fizikal dalam melakukan penjajahan tetapi lebih menggunakan ideologi, media, perfileman dan pelbagai lagi. Penjajahan Minda ini sangat mencabar kerana kaedah penjajahan ini dilakukan dengan menyampaikan terus maklumat atau mesej kepada individu-individu tanpa ada sekatan.


Hal ini menyebabkan kita boleh melihat pada hari ini, sebahagian anak-anak muda kita telah dipengaruhi oleh budaya-budaya barat dan juga cara kehidupan barat.Hal ini sangat membimbangkan kerana ada juga budaya barat dan cara kehidupan barat yang tidak sesuai diamalkan di negara kita. Kita perlu faham bahawa negara kita adalah sebuah negara yang mana agama Islam adalah agama persekutuan dan juga mengamalkan budaya ketimuran.


Keamanan yang telah dikecapi di negara kita pada hari ini adalah hasil satu formula yang telah digunakan sejak merdeka iaitu Perpaduan. Seharusnya formula ini terus dikekalkan bagi mengekalkan kemerdekaan negara kita. Anak-anak muda harus ingat bahawa soal perpaduan ini bukanlah satu perkara yang boleh dipermainkan tetapi ia adalah satu perkara yang wajib untuk dikekalkan.

Sempena Kemerdekaan Malaysia ke-55 ini, Saya menyeru sahabat-sahabat untuk sama-sama menghayati Kemerdekaan dan mengekalkan semangat patriotik dalam diri kita.Hal ini kerana kita perlu sentiasa ingat bahawa kita bukan memiliki negara ini sepenuhnya tetapi kita meminjam negara ini daripada generasi akan datang.


[SUMBER : http://www.mymahasiswa.com/2012/08/anak-muda-merdeka.html]
Share on Google Plus

About Talk With Hand

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments: