.

BELASUNGKAWA KERAJAAN MALAYSIA :MH17


Kerajaan memutuskan agar bendera negara dikibar separuh tiang di seluruh negara mulai malam ini sehingga Isnin depan (21 Julai) berikutan tragedi pesawat Malaysia Airlines (MASPenerbanganMH17 yang dipercayai ditembak jatuh di Ukraine, pada Khamis.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau telahpun menyembah maklum perkara itu kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Berucap dalam Perutusan Khas-Nahas MH17 yang bersiaran secara langsung menerusi RTM1, Najib menyeru semua rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam, tidak kira latar pendirian politik, untuk mengadakan solat hajat.

"Terus bermunajat serta berdoa kepada Allah agar Malaysia yang tercinta ini sentiasa selamat sejahtera, dijauhi daripada bala bencana, musibah atau segala ancaman yang boleh memporak-perandakan negara," katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang menganut agama lain pula digalak mengadakan sembahyang dan upacara keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing.

Najib berkata kerajaan turut menzahirkan perasaan sangat dukacita dan pilu terhadap peristiwa tragik yang menimpa penumpang serta anak kapal pesawat MH17.

Justeru, beliau berkata kerajaan ingin merakamkan ucapan takziah dan belasungkawa serta simpati yang amat mendalam kepada seluruh anggota keluarga, sahabat handai dan kenalan mangsa tragedi.

"Makanya, diharapkan kepada semua, agar cekalkan semangat dan tabah menempuh dugaan amat berat ini," katanya.

Semalam, pesawat Boeing 777-200 MAS Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dilaporkan terhempas di kawasan timur Ukraine.

Pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu, yang turut dinaiki 43 rakyat Malaysia termasuk dua bayi, ditembak jatuh.

Pesawat itu dilaporkan berlepas pada 12.15 tengah hari waktu Belanda dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 6.10 pagi Jumaat.

MAS mengesahkan menerima makluman dari Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) Ukraine yang terputus hubungan dengan pesawat itu pada 10.15 malam waktu Malaysia, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Rusia-Ukraine.
Share on Google Plus

About Talk With Hand

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments: