.

Sabah diceroboh: Semangat Inspektor Hasnal tidak luntur walaupun cedera



TAWAU: Walaupun cedera dalam kejadian serang hendap oleh kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Simunul, Semporna pada Sabtu lalu, ia sama sekali tidak melunturkan semangat Inspektor Mohd Hasnal Jamil, 31, untuk terus mempertahankan negara.

Mohd Hasnal dari Cawangan Khas Bukit Aman yang mengalami beberapa kecederaan termasuk di kaki, kepala dan lengan dalam insiden itu, berkata jiwanya tetap berada di barisan hadapan demi mempertahankan kedaulatan negara.

"Alhamdulillah, kecederaan yang saya alami semakin pulih berbanding hari-hari sebelumnya dan ia tidak melunturkan semangat saya untuk berjuang. Saya juga tidak menghadapi fobia akibat kejadian pada malam itu," katanya kepada pemberita hari ini.


Mohd Hasnal yang berasal dari Kedah dan sudah bertugas lebih 10 tahun dengan Polis Diraja Malaysia, berlepas ke ibu negara petang tadi untuk rawatan susulan selepas dimasukkan ke sebuah hospital di sini.

Beliau juga berpesan kepada rakan-rakannya supaya meneruskan perjuangan hingga ke titisan darah terakhir demi mempertahankan negara.

Kejadian serang hendap itu mengakibatkan kematian enam anggota pasukan keselamatan dan enam penceroboh.

Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Mohd Hasnal dibawa ke sebuah hospital dengan menaiki ambulans.

Antara yang melawatnya ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan dan Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah. - BERNAMA

Share on Google Plus

About Talk With Hand

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment