KUALA TERENGGANU – Golongan muda perlu meneliti kembali khidmat dan sumbangan kerajaan Barisan Nasional (BN) membangunkan negara dan memberi tumpuan kepada golongan tersebut sepanjang tempoh lima tahun ini untuk memastikan mereka membuat pilihan tepat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Ketua Pemuda BN Terengganu, Saiful Bahri Baharuddin berkata, BN menepati cita rasa orang muda berdasarkan pelaksanaan program dan pengisian yang banyak memberi tumpuan kepada golongan tersebut untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Sehubungan itu, beliau meminta golongan berkenaan berfikir secara bijak untuk terus mengekalkan kestabilan negara, selain bergerak bersama kerajaan dalam memacu hala tuju dan masa depan negara yang lebih baik pada penggal akan datang.
“Mereka perlu bijak berfikir, buat perbezaan apa yang telah dilakukan kerajaan dalam tempoh lima tahun dan apa yang dilakukan pembangkang dalam tempoh tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Beliau turut membayangkan kerugian akan berlaku sekiranya golongan muda tidak memberi perhatian terhadap perkara itu tetapi lebih suka terikut-ikut kerenah dan janji manis pembangkang.
Pada masa sama, beliau yakin dengan sokongan orang muda terhadap BN dan menyedari kecenderungan tersebut kini bukan hanya daripada penyokong parti sedia ada tetapi juga pengundi atas pagar.
Jelasnya, bagi memastikan momentum sokongan terus berlangsung sehingga PRU13, pihaknya telah mengatur pelbagai gerak kerja untuk menarik perhatian golongan tersebut.
Antaranya beliau berkata, penerangan asas mengenai kelebihan memilih BN juga disampaikan kepada rakyat untuk terus mengukuh keyakinan terhadap kerajaan sedia ada.
Saiful Bahri yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Terengganu juga cukup yakin dengan sambutan pengundi muda di luar Terengganu untuk pulang memilih BN.
“Berdasarkan pelbagai perkara dilakukan kerajaan, transformasi dalam pelbagai aspek dan manifesto yang diumumkan, sudah tentu pengundi muda memberi undi kepada BN bagi menjamin masa depan mereka,” katanya.
Mengakui kesiapsiagaan pihaknya kini sudah melebihi 100 peratus, beliau menganggap tempoh pengumuman pilihan raya yang lebih awal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini memberi cukup ruang untuk menambah nilai terhadap beberapa perkara perlu diberi perhatian.
“Dari sudut jawatankuasa keselamatan pula, ia akan diperhebat untuk berhadapan situasi luar jangka seperti provokasi dan sebagainya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment