.

HARUS BACA !!!! PRAY FOR MH370 !!!! OPS MENCARI DIPERGIAT !!!!


Operasi mengesan pesawat MH370 dipergiatkan pada hari kedua dengan penglibatan lebih banyak pihak dan kawasan carian yang lebih luas serta kemunculan beberapa kemungkinan baru mengenai kehilangan pesawat itu.

Operasi pada Ahad yang diketuai oleh pasukan tentera Malaysia disertai oleh pasukan tentera Amerika Syarikat dan negara serantau termasuk Vietnam, Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina, melibatkan gerakan dari udara dan laut.

Usaha mengesan pesawat itu juga dipandu oleh petunjuk baru yang membayangkan ada kemungkinan besar pesawat jenis Boeing 777-200 itu cuba berpatah balik dari laluan asal Kuala Lumpur ke Beijing.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata rekod radar tentera menunjuk tanda-tanda pesawat itu cuba berpatah balik dan petunjuk itu disokong oleh petunjuk daripada radar sivil.

"Kita telah lihat rekod radar, ada kemungkinan pesawat ini berpatah balik. Kita masih memeriksa dengan agensi antarabangsa lain, ada kemungkinan pesawat berpatah balik ke KLIA," katanya dalam sidang media di KLIA.

Petunjuk baru itu bagaimanapun menambah misteri kepada apa yang berlaku ke atas pesawat itu kerana MH370 tidak mengirimkan sebarang isyarat kecemasan dan tidak pula memaklumkan cubaan patah balik itu, sekiranya ada.

Dalam pada itu, siasatan kehilangan pesawat itu juga bertumpu kepada usaha memahami kemungkinan penglibatan elemen pengganas susulan pengesahan dua penumpangnya menaiki pesawat itu dengan pasport palsu.

Dua penumpang itu dirakamkan oleh kamera litar tertutup di KLIA dan rakaman itu sedang disiasat, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

"Kita ada rakaman CCTV dari mula daftar masuk sampai ke pelepasan," katanya.

Seorang warga Itali, Luigi Maraldi, yang namanya ada dalam senarai penumpang MH370 disahkan tidak menaik penerbangan itu. Menurut Kementerian Luar Itali, pasport Maraldi dicuri pada Ogos lalu di Thailand.

Seorang warga Autria, Christian Kozel juga yang namanya ada dalam senarai penumpang itu juga hilang pasportnya semasa melancong di Thailand dua tahun lalu.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum itu memberitahu ada dua lagi penumpang yang disyaki menggunakan pasport palsu. Siasatan kemudian mengesahkan bukan empat tetapi hanya dua pasport warga Itali dan Austria itu.

Dua penumpang yang menggunakan pasport curi itu pula membeli tiket penerbangan mereka daripada China Southern Airlines yang berkongsi kod laluan Kuala Lumpur Beijing dengan Malaysia Airlines.

Syarikat penerbangan China itu juga mengumumkan mereka menjual tiket kepada tujuh penumpang MH370 termasuk seorang warga China, seorang warga Belanda, seorang rakyat Malaysia dan dua Ukraine.

Sementara itu, Azharuddin juga memberitahu bagasi lima penumpang dikeluarkan daripada pesawat sebelum berlepas kerana mereka tidak menaiki pesawat MH370.

Sementara itu, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan penemuan tompokan minyak kira-kira 20 batu nautikal ke arah selatan kawasan terakhir pesawat MH370 diketahui berada sebelum ia hilang.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd Amdan Kurish berkata pasukannya yang menyertai operasi ini menemui tompokan minyak itu lebih kurang pukul 11 pagi Ahad.

"Sebuah kapal telah dikerah ke kawasan itu untuk mengambil contoh tumpahan minyak itu bagi memastikan apakah ia minyak daripada sebuah pesawat," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pengarah penerbangan awam China memaklumkan pihaknya menemui serpihan yang dipercayai daripada pesawat MH370 namun maklumat itu sedang disiasat.

Dalam pada itu, Malaysia Airlines memaklumkan ia sedar dan memahami keprihatinan orang ramai yang mahukan maklumat perkembangan kehilangan pesawat MH370 dan operasi mencari dan menyelamat.
Bagaimanapun ia memberikan fokus kepada keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat yang lebih memerlukan maklumat dan sokongan emosi.

Share on Google Plus

About Talk With Hand

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments: