Usaha menjejaki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 kini diperluas kepada pencarian di dalam air bagi mengesan kotak hitam pesawat yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi itu.
Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Angus Houston berkata dalam masa sama usaha pencarian dari udara tetap diteruskan.
Beliau berkata kapal Ocean Shield milik tentera laut Australia dan HMS Echo milik tentera laut British akan menumpukan usaha mengesan kotak hitam itu di laluan sepanjang 240 kilometer di selatan Lautan Hindi.
"Menggunakan 'Towed Pinger Locator' (TPL) dari tentera laut Amerika Syarikat, kedua-dua kapal akan melakukan pencarian dalam satu laluan sejauh 240 km," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.
Ini merupakan kali pertama pencarian bawah permukaan air dilakukan dalam misi mengesan isyarat daripada kotak hitam penerbangan MH370 tersebut.
Sementara itu, Komander Pasukan Petugas Bersama 658 Laksamana Pertama Peter Leavy dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat, berkata usaha mengesan akan dilakukan pada kedalaman sekurang-kurangnya 3,000 meter.
Dalam usaha ini, kedua-dua kapal harus bergerak pada kelajuan yang rendah sekitar tiga knot, katanya.
Beliau juga berkata usaha harus dijalankan secara tersusun dan berhati-hati bagi memastikan TPL dapat mengesan sebarang isyarat termasuk yang sangat lemah daripada 'pinger'.
Katanya disebabkan tiada bukti kukuh ditemui, pencarian bawah permukaan air itu dibuat berdasarkan analisis data.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan lawatan kerja dua hari ke sini, membincangkan tentang pencarian dalam air dengan rakan sejawatannya dari Australia Tony Abbott.
Beliau juga melihat sendiri usaha pencarian MH370 yang dilaksana dari bandar raya di Australia Barat itu.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac, dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang sama.
Susulan itu usaha mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan sebelum diperluas ke Selat Melaka, Laut Andaman dan Lautan Hindi selepas ada penemuan menunjukkan MH370 mengubah haluan jauh daripada laluan asal.
Pada 24 Mac, iaitu hari ke-17 misi pencarian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi, berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB).
0 comments:
Post a Comment