Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) tetap merupakan antara hab penerbangan terbaik di dunia dari segi perkhidmatan dan keselamatan.
Perkara itu dinyatakan beberapa pakar lapangan terbang daripada 45 negara yang menghadiri Persidangan dan Pameran Bandar Raya Lapangan Terbang Dunia Ke-13, di sini hari ini. Ini adalah julung kalinya acara itu diadakan di negara ini.
Pengurus Kanan Projek Penerbangan Netherlands Airport Consultant (NACO) Henry de Lange memberitahu Bernama bahawa langkah keselamatan adalah antara aspek paling penting yang diambil kira pasukan itu apabila mereka diberi projek KLIA pada 1992.
"KLIA berada dalam kedudukan terbaik dari segi keselamatan dan perkhidmatan," katanya sambil menegaskan bahawa adalah sesuatu yang meragukan apabila kredibiliti KLIA, terutama dari segi keselamatannya, dipersoalkan media dan orang ramai.
de Lange adalah antara lebih 500 anggota perwakilan daripada lebih 110 pengendali lapangan terbang yang menghadiri persidangan dan pameran itu dari 31 Mac hingga 2 April.
Pengarah Perunding Sistem Deerns Airport of International Airport Practice, Daan Eijgendaal juga berpuas hati dengan langkah keselamatan yang dilaksanakan di KLIA.
Anggota perwakilan dari Belanda ini, yang juga pakar dalam reka bentuk keselamatan, tidak mempunyai sebarang sungutan tentang KLIA, malah menaruh kepercayaan penuh terhadap lapangan terbang itu.
"Saya amat menyukainya. Ia lapangan terbang yang amat bagus. Saya rasa ia tidak berbeza dengan apa yang saya lihat di negara lain," katanya.
Datuk Bandar Eksekutif Ekurhuleni di Afrika Selatan Mondli Gungubele berkata Lapangan Terbang Ekurhuleni Airport dan dunia amnya boleh mempelajari sesuatu dari segi keselamatan lapangan terbang dan syarikat penerbangan daripada KLIA.
"Bagi saya, keselamatan KLIA cukup baik. Malah, sama baiknya dengan yang terdapat di Amerika. Mereka amat teliti," kata beliau.
Gungubele menyifatkan kunjungannya ke Malaysia juga merupakan pengalaman menarik walaupun ini merupakan kali pertama beliau ke sini.
"KLIA sungguh mengagumkan. Walaupun ia jauh dari bandar raya (Kuala Lumpur), perjalanan dari KLIA ke KL sungguh mudah," katanya.
Gungubele berkata beliau akan berkongsi pengalaman itu dengan komuniti lapangan terbang Afrika Selatan dan percaya keadaan di Lapangan Terbang Ekurhuleni masih boleh ditambah baik.
Diminta mengulas tentang kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, de Lange, Daan dan Gungubele sependapat bahawa pihak berkuasa perlu diberi kebebasan untuk melaksanakan tugas mereka menyiasat apa yang sebenarnya berlaku terhadap penerbangan itu.
Ketiga-tiga mereka berkata perkara paling baik ialah tidak membuat sebarang spekulasi dan kerajaan Malaysia patut diberi peluang serta ruang untuk menangani episod kehilangan pesawat itu.
Pada 8 Mac, Penerbangan MH370 ke Beijing, yang berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam dengan membawa 239 orang, termasuk anak kapal, hilang daripada pengesanan radar sejam kemudian. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Pada 24 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan laluan pesawat #MH370, Boeing 777-200ER itu "berakhir di selatan Lautan Hindi".
Usaha mencari pesawat itu diteruskan pada hari ke-25 hari ini.
0 comments:
Post a Comment