TAWAU: Kerajaan bersedia mengambil tindakan terhadap apa jua laporan
dan resolusi daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang sedang menyiasat
kehadiran pendatang asing tanpa izin di Sabah, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul
Gani Patail.
Beliau berkata
sekiranya terdapat unsur jenayah maka tindakan akan diambil dan jika didapati
terdapat sesuatu yang tidak betul ia akan diperbetulkan.
“Ya (kita sedia
ambil tindakan). Kita semua mesti ingat, kalau kesalahan jenayah, kita akan
ambil tindakan. Kalau ada perkara yang tak betul akan dibetulkan. Itu janji
kerajaan. Itu sebab kita ada RCI. Kalau kerajaan tak mahu buat (RCI), tak ada
RCI.
“Tetapi kita mesti
ingat, apabila kita bercakap tentang pendakwaan jenayah ini, kita kena tengok
lagi adakah cukup bukti. Dalam RCI ini apa-apapun orang cakap boleh diterima,
tanpa buktipun kita terima. Bukti keterangan khabar angin pun kita terima.
“Tapi untuk kita ke
mahkamah, kita kena tengok keterangan yang boleh diterima. Itu kita mesti
tengok tetapi itu bukan satu alasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap
orang yang telah buat salah. Tak ada. Tetapi kita akan mengambil tindakan
tetapi mesti mengikut lunas-lunas undang-undang.
“Jika saya tidak
mengikut lunas undang-undang, orang akan kata, oh saya tak adil atau kerajaan
tidak adil,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan
pembukaan Tahun Perundangan 2013 di Mahkamah Tawau di sini hari ini.
Turut hadir pada
majlis berkenaan ialah Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, Ketua Hakim
Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri
Abdull Hamid Embong dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum.
Sehubungan itu,
Abdul Gani meminta semua pihak supaya memberi kepercayaan penuh kepada RCI
berkenaan yang disifatkannya setakat ini telah melakukan siasatan yang
benar-benar mendalam dan menyeluruh dengan semua perkara dikeluarkan.
“Semua orang pun
tahu, ramai yang kena tangkap (termasuk) yang ada kad pengenalan pun
dikeluarkan (dalam siasatan RCI). Itu menunjukkan ketelusan kerajaan. Satu
lagi, kalau dipandang dari segi ini, itu adalah betul-betul janji ditepati
kerana Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) berkata dia akan membuat satu
RCI yang telus dan dijamin perkara ini akan dibuat dengan cara telus dan baik.
Kalau tidak takkanlah semua perkara ini keluar,” katanya.
“Dan saya sangat
bangga dan sukacita dengan perkara itu kerana itu yangkita mahu. Sebab apa,
kebenaran pasti wujud sepertimana yang ada. Jadi kita tunggu. Lagi satu, jangan
kelam kabbut memikirkan perkara itu. Kerajaan tidak akan membuat satu RCI,
kalau kerajaan memang salah takkan kerajaan tangkap sampai 98 orang di bawah
Akta Keselamatan Dalam Negeri,” katanya.
Menurut Abdul Gani
mungkin ada kesilapan telah dilakukan sebelum ini dan kesilapan itulah yang
ingin disiasat sama ada dilakukan pegawai-pegawai kerajaan, atau kerajaan
sendiri ataupun ada unsur penipuan ataupun rasuah seterusnya diselesaikan yang
akhirnya menggembirakan semua pihak.
0 comments:
Post a Comment