Zahidah Ahmad,27 dan adik tirinya berhadapan dengan hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas terbukti bersalah kerana membunuh ibu tiri mereka dua tahun lepas.
Hakim Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati tertuduh, Zahidah Ahmad, 27, penganggur, dan adik tiri perempuan berumur 18 tahun gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan 28 April ini untuk memutuskan hukuman terhadap adik tiri Zahidah sementara menunggu laporan akhlak berikutan semasa kejadian dia masih di bawah umur iaitu 16 tahun.
Dalam penghakimannya, Hakim Akhtar berkata, selepas mendengar keterangan kedua-dua beradik itu beliau mendapati pembelaan mereka bersifat penafian semata-mata.
"Selepas mendengar keterangan kedua-dua pihak, saya lebih mempercayai keterangan saksi pendakwaan dan saya dapati mereka (saksi pendakwaan) beri keterangan yang benar berbanding keterangan kedua-dua tertuduh.
"Justeru saya dapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tuduhan terhadap kedua-dua tertuduh melampaui keraguan munasabah dan mereka didapati bersalah dan disabitkan pertuduhan," kata Hakim Akhtar.
Maznah dan adik tirinya didakwa bersama-sama membunuh Tanziah Zainuddin, 72, di alamat No: 2, Lorong Kiyai Sujak 20B, Taman Sri Wangi, Kapar, Klang, pada 5.30 petang, 14 Julai 2012.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Sebanyak 14 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iswa Tonie sementara dua beradik itu diwakili peguam Tan Teck Yaw dan Liow Boon Lee.
Akhbar sebelum ini melaporkan kematian mangsa, seorang guru agama, pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan dikebumikan.
Bagaimanapun, tiga hari selepas pengkebumiannya, seorang daripada anggota keluarga mendapati beberapa barang kemas milik warga emas itu hilang lalu membuat laporan polis.
Kubur mangsa kemudian digali semula dan hasil bedah siasat mendapati warga emas itu meninggal dunia akibat lemas.
bernama
0 comments:
Post a Comment