Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar, ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat di Lapangan Terbang Mathis Field, di San Angelo, selepas dipercayai cuba menyeludup senjata api ke Kuala Lumpur.
Pegawai terbabit ditahan pada 16 April lalu, selepas sepasukan Agen Pentadbiran Keselamatan dan Pengangkutan Lapangan Terbang (TSA) dan Kastam, melakukan pemeriksaan pengimbas ke atas bagasi dan kotak dibawanya, sebelum mengesan objek mencurigakan.
Menurut laporan portal berita Big Country Homepage, selepas membuka beg pegawai itu, pasukan keselamatan menemui peti sejuk beku kecil yang di dalamnya pistol jenis Taurus PT-22 .22 Kaliber, dibalut dengan bungkusan plastik.
Turut ditemui satu megazine yang mengandungi lapan butir peluru .22 Kaliber, pencabut gabus, pembuka tin serta barring pistol berkenaan yang dipisahkan bagi mengelak dikesan semasa pemeriksaan di lapangan terbang.
Sebaik senjata api berkenaan ditemui, pasukan keselamatan kemudiannya memanggil keluar pegawai terbabit yang sudah pun berada di dalam pesawat sebelum menahannya untuk siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapasti, pegawai itu yang menjalani kursus latihan ketenteraan di Pangkalan Tentera Udara AS Goodfellow, San Angelo, sejak 5 Januari lalu, mengaku membeli senjata daripada seorang pembekal ketika menghadiri pameran senjata api.
Menurutnya, dia juga turut menjalankan urus niaga dengan seorang penuntut warga asing di San Angelo, bagi mendapatkan megazine berisi peluru hidup untuk pistol berkenaan yang dibeli dengan harga USD200 (RM648).
Katanya, dia sedar kesalahan yang dilakukannya itu, tindakannya menyembunyikan senjata api itu dalam peti sejuk beku dalam bagasi bertujuan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Laporan itu turut memberitahu, pegawai berkenaan yang sudah dipindahkan ke pusat tahanan Lubbock, Jumaat lalu, untuk siasatan lanjut sebelum proses pendakwaan dan berhadapan hukuman penjara selama 10 tahun sekiranya didapati bersalah.
0 comments:
Post a Comment