.

MH370 - Kritikal 48 Jam



Tempoh 48 jam akan datang akan menjadi saat paling kritikal dalam misi mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dengan kawasan pencarian dikecilkan, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Ia berdasarkan pemahaman saya bahawa usaha mencari memasuki fasa kritikal dalam tempoh 48 jam akan datang.

"Apa saja yang berlaku dalam tempoh itu, kami kemudiannya akan berkumpul semula dan berbincang mengenai langkah seterusnya," katanya pada sidang media di Hotel Royale Chulan di sini, Sabtu.


Hishammuddin turut menafikan laporan media bahawa pengimbasan seluruh kawasan pencarian akan mengambil masa antara enam minggu dan dua bulan.

"Itu tidak benar. Ia seharusnya diselesaikan minggu depan," katanya.

Beberapa pegawai Australia yang memantau operasi tersebut berkata, pencarian di dasar laut untuk mengesan kotak hitam berdasarkan isyarat dikesan oleh alat pengesan pinger akan diselesaikan dalam tempoh lima hingga tujuh hari.

Sementara itu, Hishammuddin berkata misi pencarian akan terus menggunakan kapal selam mini Bluefin-21 untuk kerja mencari di dalam air sementara pihak berkuasa Malaysia kini mengkaji kemungkinan menambah penggunaan aset komersial dalam operasi itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbot berkata operasi mencari itu akan dibincang dan dinilai semula sekiranya tidak terdapat perkembangan baharu "dalam masa beberapa hari lagi".

"Di sini, syarikat seperti Deftech, DRB, Boustead dan beberapa syarikat Malaysia telah bertemu dan berbincang dengan rakan mereka dari luar negara berhubung cara bagaimana kita boleh menambah AUV (kenderaan dalam air autonomi)


Hishammuddin mengesahkan bahawa AUV Bluefin-21 berjaya merakam dengan jelas imej keadaan di dasar laut dalam misi pencariannya.

"Bagaimanapun, daripada kesemua enam misi yang dijalankan, sehinga kini, tidak terdapat sebarang penemuan yang berkaitan," katanya sambil menjelaskan bahawa kapal selam mini itu memulakan misi ketujuhnya pagi ini.

Beliau juga menolak laporan media yang membayangkan UAV itu akan mengambil masa antara enam minggu dan dua bulan untuk mengimbas seluruh kawasan pencarian yang ditetapkan.

"Itu tidak betul. Kawasan mencari yang ditetapkan ketika ini akan selesai diliputi Bluefin-21 dalam masa seminggu," katanya.

Beliau berkata kini tibalah masanya bagi pihak yang terlibat dalam operasi mencari itu berbincang tentang penggunaan kapal selam.

Penerbangan MH370 bersama 239 orang ke Beijing, hilang daripada pengesanan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila pesawat itu didapati menukar laluannya.

Ditanya sama ada lokasi mencari ketika ini yang berpandukan input daripada satelit Inmarsat perlu dinilai semula, Hishammuddin berkata fokus perlu diberi di kawasan semasa.

"Yang penting sekarang, fokus hari ini dan esok dibuat berdasarkan hasil perbincangan dengan JACC, usaha mengurangkan keluasan kawasan mencari kini berada di peringkat amat kritikal. Saya merayu kepada semua pihak di seluruh dunia supaya berdoa agar kami menjumpai sesuatu yang akan membolehkan kami memberi tumpuan," katanya.

berkata jawatankuasa peringkat kementerian yang dibentuk berikutan kehilangan pesawat itu telah merangka cadangan struktur dan Terma Rujukan Pasukan Penyiasatan Nahas Kapal Terbang bagi MH370.

Langkah itu sejajar dengan Peraturan-peraturan Penerbangan Awam Malaysia 1996 (MCAR 1996) dan Lampiran 13 - Konvensyen Chicago Mengenai Kemalangan Kapal Terbang dan Penyiasatan Kejadian. 

Hishammuddin berkata pasukan yang dicadangkan itu akan dianggotai pakar dari dalam dan luar negara.

"Saya juga telah berbincang dengan Sekretariat Asean berhubung kemungkinan melantik beberapan rakan sejawatan kami menganggotai pasukan itu," katanya.

Hishammuddin berkata beliau juga telah berbincang dengan Jean-Paul Troadec, berdasarkan pengalamannya mengendalikan kes kehilangan pesawat Penerbangan 447 Air France, berhubung penggunaan aset komersial swasta bagi membantu operasi mencari Penerbangan MH370.

"Ketika kami akan melangkah ke fasa pencarian berikutnya, saya terharu apabila lebih banyak rakan dari negara lain menyuarakan kesediaan mereka membantu dan menyokong usaha kami untuk mengesan MH370," katanya. 

Share on Google Plus

About Talk With Hand

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments: