Gambar Hiasan |
Seorang pesawah yang mahu membersihkan bendangnya di Kampung Tuba, Pokok Sena dekat sini pada Ahad, terkejut apabila objek yang ditarik keluar dari petak sawah menggunakan cangkul merupakan mayat seorang lelaki.
Dalam kejadian 10.30 pagi itu, Saari Ariffin, 68, berkata dia ternampak satu objek yang seakan-akan kepala manusia ketika mahu membersihkan petak sawah tersebut.
"Saya menggunakan cangkul untuk menariknya keluar dan alangkah terperanjatnya saya apabila mendapati objek itu ialah mayat yang seolah-olah sudah dikafankan," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.
Saari berkata dia sudah dua bulan tidak ke sawah yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya di Kampung Tok Keling.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan yang mengesahkan penemuan berkata mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu ditanam di dalam lubang sedalam 0.6 meter.
Polis percaya mayat tersebut dibuang di situ sejak seminggu lalu berdasarkan pemeriksaan awal yang mendapati mayat sudah mereput 60 peratus, katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dibedah siasat.- Bernama
0 comments:
Post a Comment