Kerajaan Malaysia memberi jaminan bahawa sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR), mereka telah melakukan segala-galanya untuk mengesan pesawat MH370 yang hilang.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata mereka tidak mengabaikan sebarang usaha dan perbelanjaan dalam mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang pada 8 Mac.
"Kami telah bekerja keras dan bekerjasama dengan semua pihak yang boleh membantu termasuk orang-orang yang berada di sini hari ini.
"Penyiasatan mengenai MH370 tidak pernah dilakukan sebelum ini. Dengan sedikit petunjuk, para penyiasat dari seluruh dunia telah dipaksa menggunakan kaedah-kaedah baharu untuk mencuba dan memahami apa yang telah berlaku.
"Maklumat yang sedang kami siasat adalah maklumat terbaik yang kami ada. Kami menyusul semua bukti yang telah membawa kami dari Laut China Selatan hinggalah ke Selat Melaka; dari Laut Andaman hinggalah ke koridor Utara dan koridor Selatan; dan akhirnya ke Lautan Hindi," katanya dalam ucapan perasmian pada taklimat khas kepada anggota keluarga penumpang pesawat warga China di hotel Bangi-Putrajaya, Rabu.
Azharuddin berkata taklimat hari ini bertujuan memberi sebanyak mungkin maklumat bagi membantu anggota keluarga memahami kenapa dan bagaimama pasukan penyiasatan antarabangsa memutuskan mengenai pergerakan MH370.
Apa yang diperkatakan Azharuddin semasa taklimat berkenaan telah dimoderatorkan oleh Wakil Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting yang turut dinyatakan dalam kenyataan terbaharu Kementerian Pengangkutan mengenai tragedi MH370.
Taklimat berkenaan disiarkan secara langsung kepada anggota keluarga penumpang pesawat MH370 yang berada di Beijing.
Turut hadir bagi menjawab soalan daripada anggota keluarga penumpang China ialah Duta Besar China di Malaysia Huang Huikang, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jeneral Tan Sri Dato' Sri Rodzali Daud, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia Datuk Huzir Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha III Kementerian Luar Negeri Datuk Ibrahim Abdullah.
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan berkata Kerajaan Malaysia menghargai kepentingan dalam menyediakan maklumat yang tepat dan yang disahkan kepada anggota keluarga penumpang MH370.
"Malaysia juga berusaha memastikan kerajaan-kerajaan yang rakyatnya menaiki pesawat MH370 diberikan taklimat sepenuhnya.
"Rakyat China paling banyak menaiki MH370 berbanding negara lain. Malaysia menyedari tangggungjawabnya untuk memberikan Kerajaan China maklumat yang telah disahkan yang ia boleh gunakan untuk memberi taklimat kepada anggota keluarga rakyat China yang menaiki MH370," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut, sejak MH370 hilang, Malaysia sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa China di pelbagai peringkat kerajaan untuk memastikan maklumat yang tepat dan disalurkan pada masanya.
Pesawat penerbangan MAS MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada radar selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam, 8 Mac lepas.
Pada 24 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa laluan penerbangan MH370 'berakhir' di selatan Lautan Hindi, di sebelah barat Perth, Australia.
Beliau membuat pengumuman itu berdasarkan analisis yang belum pernah digunakan sebelum ini oleh data satelit milik syarikat United Kingdom, Inmarsat dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) yang menunjukkan pesawat MH370 terbang di sepanjang koridor selatan.
Pencarian diteruskan di Perth, Australia.
0 comments:
Post a Comment