.

CUTI REHAT ATAU "SINGKIR SAYA DARI UMNO"


Demikian penegasan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai mengulas gesaan Pemuda UMNO supaya beliau bercuti dan berehat buat seketika daripada menjalankan tugas sebagai Presiden parti sehingga kesnya di mahkamah selesai.

Katanya, beliau mengambil keputusan untuk terus mengemudi UMNO bersama barisan kepemimpinan yang ada sekarang.

“Mengalah bukan satu opsyen... saya mengambil keputusan untuk terus menggalas kepemimpinan UMNO bersama-sama Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan), Naib-naib Presiden, Setiausaha Agung (Tan Sri Annuar Musa) serta kepemimpinan sayap.

“Apabila ada cadangan untuk saya bercuti atau dalam erti kata lain berundur, saya tidak menganggap ia satu opsyen.

“Mandat ini akan saya lakukan sehingga tamat penggal pemilihan kerana pemilihan jawatan dalam parti ditentukan Perhimpunan Agung (UMNO), bukannya disebabkan cadangan atau lain-lain yang tidak mengikut perlembagaan dan peraturan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin dan ahli akar umbi UMNO negeri di Bangunan UMNO Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir Mohamad, Annuar, Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta barisan kepemimpinan UMNO Terengganu.

Pemuda UMNO dilaporkan menggesa Ahmad Zahid untuk mempertimbangkan supaya bercuti dan berehat buat seketika daripada menjalankan tugas sebagai Presiden parti sehingga kesnya selesai di mahkamah.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata gesaan itu adalah untuk memberi peluang kepada Ahmad Zahid yang berdepan 45 tuduhan rasuah dan pecah amanah menumpukan usaha membersihkan nama di mahkamah.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, ketika mengambil keputusan menawarkan diri sebagai presiden parti pembangkang, beliau sudah maklum mengenai pelbagai dugaan berat yang bakal dihadapi.

Katanya, beliau sedar pendakwaan terpilih akan berlaku kepada mana-mana pemimpin UMNO atau sesiapa pun yang menjadi pemimpin dan diketahui umum pendakwaan terpilih ini berbaur politik.

“Saya sudah memperkirakan bahawa tentu banyak dugaan. Saya sedar akan berdepan satu kuasa yang ‘hostile’ (bermusuhan) dan bertindak dalam bentuk mala fide dan saya terpaksa membayar harga terhadap keputusan yang saya ambil.

“Saya reda, tetapi apabila ada cadangan untuk saya bercuti atau dalam erti kata lain berundur, saya tidak menganggapnya satu pilihan,” katanya.

BHARIAN
Share on Google Plus

About Talk With Hand

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments: